"Status Dia Pelik.." Maut Dirempuh Kereta Arus, Sepupu Dedah Status Terakhir Arwah
Sepupu kepada seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan awal pagi Ahad berharap pemandu kenderaan yang memandu melawan arus hingga menyebabkan insiden itu menerima hukuman setimpal.
Siti Harkom Yaacob, 20, berkata, dia menjadi marah selepas menerima berita kemalangan melibatkan sepupunya, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, yang menjadi mangsa kecuaian orang lain.
"Saya antara saudara yang rapat dengan arwah Muhammad Hafiz, saya berasa sedih selepas mendapat tahu mengenai berita kemalangan ini.
"Tambahan pula bila saya tahu arwah bersama rakannya itu maut dipercayai akibat dirempuh pemandu kereta yang melawan arus. Saya sedih dan pada masa sama, saya marah. Jadi saya berpandangan, penyebab kejadian ini perlu terima balasan setimpal.
"Kami sekeluarga tidak akan memaafkan perbuatan pemandu tersebut," katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Bandar Sultan Suleiman pada Ahad.
Menceritakan mengenai sikap sepupunya itu, Siti Harkom berkata, mangsa seorang yang ceria, baik dengan keluarga dan rakan-rakannya.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh ahli keluarga. Arwah tinggal bersama mak cik dan pak cik nya. Saya pula tinggal berdekatan. Jadi, hubungan kami sekeluarga amat akrab.
"Dia selalu menceriakan kami seeluarga. Perangai dan tingkah laku dia menyenangkan kerana suka bergurau dengan orang," katanya.
